Hubungi Kami

KDari Lensa Kata

Nimoiz T.Y

Sebuah ruang untuk berkongsi ilmu, pengalaman, pencapaian dan perkara-perkara yang memberi makna dalam kehidupan.

Hubungi Saya
Ketahui Buku Nimoiz T.Y
506457055_10236884149345960_7947832808835838856_n

Kenali nimoiz t.y

Nik Mohd Iznan bin Tuan Yaakub (http://www.nikmohdiznan.com) atau nama penanya Nimoiz T.Y bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar, Ipoh sejak tahun 2012. Sebelum ini, beliau salah seorang perintis di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Mukah Sarawak pada tahun 2004. Beliau salah seorang penulis buku Ke Arah Memperkasakan Personaliti Unggul yang dihasilkan bersama Pegawai Kaunseling Politeknik Malaysia dan diterbitkan oleh Bahagian Pengurusan Politeknik, KPTM (2005). Buku ini pernah digunakan oleh semua Politeknik di Malaysia. Dalam bahasa Melayu, Nik Mohd Iznan terlibat sebagai penulis buku, pengacara majlis, moderator forum, penceramah bengkel penulisan, pembimbing calon penulis, penulis teks ucapan, penilai kertas penyelidikan, pembentang kerja kerja, hakim sayembara dan lain-lain. Beliau pernah muncul di TV bercakap tentang penulisan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, RTM dan Radio Republik Indonesia (RRI) membicarakan tentang sastera siber.

Mendapat pendidikan awal di kampung halaman sendiri iaitu Sekolah Kebangsaan Ipoh (SKI) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ipoh (SMKI), Tanah Merah, Kelantan dari darjah satu hingga tingkatan 3. Kemudian menyambung pelajaran dalam bidang Pengajian Kejuruteraan Awam di Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai (SMTKK), Kelantan dari tingkatan 4 hingga 5. Seterusnya melanjutkan pendidikan di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO)(kini UTHM) dengan biasiswa KPM dalam bidang Diploma Kejuruteraan Awam serta Pendidikan.

Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Awam) dari Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. Tesis tahun akhir beliau bertajuk Kajian Perbandingan Kos Pembinaan Antara Sistem Binaan Berindustri Secara Acuan Terowong dengan Sistem Konvensional ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ketika di Majlis Daerah Tanjong Malim, beliau menulis Laporan Latihan Industri sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Kerana kecintaan tinggi dalam bahasa kebangsaan, beliau meneruskan pengajian di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM dalam program Sarjana Sains (Kejuruteraan Awam & Struktur) dengan tesis bertajuk Pemodelan Kesediaan Pengguna Beranjak Kepada Kenderaan Tidak Bermotor (Berbasikal). Kini merupakan calon Doktor Falsafah (Ph.D) Rekabentuk dan Alambina di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seri Iskandar, Perak dengan kajian berkaitan Pemodelan Maklumat Bangunan atau Building Information Modelling (BIM).

Di Politeknik, beliau mengajar pelbagai kursus peringkat Sijil, Diploma dan Asasi Teknologi Kejuruteraan. Kini merupakan Ketua Bidang Pembinaan dan Ukur Binaan, Jabatan Kejuruteraan Awam. Beliau juga pernah terlibat dalam penyediaan modul pengajaran untuk program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam dengan Kepujian. Di PUO, beliau banyak terlibat sebagai penulis teks ucapan VVIP, Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Jabatan dan Ketua Program peringkat politeknik, kebangsaan dan antarabangsa. Misalnya, banyak kali dilantik sebagai penulis teks ucapan Tan Sri Dato’ Sri Sufri bin Mohd Zin dan Mejar (K) Dato’ Hj. Md Noor bin Yusof. Beliau juga sering terlibat sebagai juruacara dan penulis skrip pengacara majlis perhimpunan bulanan, istiadat konvokesyen dan pelbagai program. Malah, beliau juga pernah terlibat dalam penyediaan teks ucapan Ketua Pengarah JPPKK dan Menteri Pengajian Tinggi.

Dalam bidang profesional, beliau merupakan jurutera siswazah yang berdaftar dengan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan ahli biasa Lembaga Jurutera Malaysia (BEM). Beliau merupakan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) dan pernah mengikuti kursus Munsyi Dewan (Sastera) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Nik Mohd Iznan aktif mengikuti program penulisan peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Dalam bidang penulisan kreatif, beliau telah menghasilkan lebih 1,000 penulisan yang tersiar dan diterbitkan dalam pelbagai akhbar, majalah, buku serta media digital. Antara genre yang diceburi termasuklah penulisan esei, berita, biografi, puisi, cerpen dan pantun. Karya beliau telah diterbitkan dalam lebih 50 buah buku dan antologi bersama penulis lain. Dengan kepakaran yang ada, beliau pernah diberi tanggunggungjawab menulis dan mengetuai pasukan penghasilan buku Biografi Dari Desa ke Mercu Kuasa Dato’ Pahlawan Azizi, Ketua Polis Negeri Perak. Dalam masa yang sama, belia juga terlibat sebagai ketua pasukan penulis buku biografi Terbang Memetik Bintang Dato’ Mohamad Fauzi Mahson, Pengarah Pendidikan Negeri Perak.

Sehingga kini, beliau telah menulis 16 buku solo termasuklah Jalan Baru (eSastera Enterprise, 2006), Menjadi Penulis Jutawan (True Wealth Publishing, 2007), Esprit de Corps’ (eSastera Enterprise, 2008), Tukang Auta (Esastera Enterprise, 2011), Republik Korupsi (ESME, 2014), Sang Pelakon (ITBM, 2015), Jaguh Deklamasi (Legasi Oakheart, 2015), Republik Eskapisme (Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub, 2015), Nak Jadi Penulis Tak? (Jootawan Books Sdn Bhd, 2015), Sang Editor & Puntianak Lelaki Terakhir (ITBM, 2016), Membilang Usia Songsang di Lantai Gua yang Panjang (KataPilar Books, 2016), Memperkasa Bahasa dan Sastera Melayu (UUM Press, 2019), Nota Ringkas Asas Penerbitan Buku (Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub, 2021), Dari Lensa Kata (Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub, 2023), Selesaikan Isu Sampah Secara Holistik dan Esei-esei Lain (Tinta Nasuha, 2024) dan Masuk ke Dalam Hujan (PENA, 2025).

Karya-karyanya Nimoiz T.Y telah tersiar dalam lebih 20 jenis akhbar dan majalah termasuklah Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Metro Ahad, Tunas Cipta, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Dewan Agama & Falsafah, Sarina, Majalah I, Seri Dewi & Keluarga, Pelita Bahasa, Mingguan Wanita, URTV, Pentas Dunia dan banyak lagi sejak tahun 2002 hingga sekarang.

Buku Esprit de Corps’ merupakan finalis Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2007/2008. Buku Republik Korupsi pula telah diterbitkan oleh penerbit Indonesia dan dilancarkan di Tembi Rumah Budaya, Jogjakarta. Untuk tujuan pengantarabangsaan, karya beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing dunia. “Sepagi-pagi Ditampar Nostalgia” karya beliau diterjemahkan oleh Dr. Krishanan Maniam ke dalam bahasa Tamil dan diterbitkan di Chennai, India pada tahun 2017 sempena Pertemuan Penyair India – Asean. Selain itu, tulisan beliau juga pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Thailand oleh Abdul Razak Panaemale dan diterbitkan oleh ITBM. Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas pula pernah menterjemah sajak beliau ke dalam bahasa Inggeris.

Kata Pengantar bukunya, Jalan baru telah ditulis oleh sarjana Russia, Prof. Madya Dr. Victor Pogadaev. Buku Nak Jadi Penulis Tak? pernah dibeli sebanyak 507 di bawah dana pembelian terus buku-buku karya penulis tempatan untuk perpustakaan desa seluruh negara pada tahun 2016 dengan harga RM12,675.00. Buku Republik Eskapisme mendapat dana terbit sendiri oleh DBP dengan nilai RM5,000.00. Buku Dari Lensa Kata pula mendapat geran penerbitan bernilai RM2,000.00 daripada Dana Kreatif Perak@PORT oleh Kerajaan Negeri Perak. Buku Masuk ke Dalam Hujan pula merupakan salah sebuah buku daripada 123 judul buku dengan dana RM2.5 juta di bawah Projek Penerbitan Bahan Bacaan Karya Asli Bertemakan Kreatif dalam bahasa Melayu – “Buku PENA – Malaysia MADANI” dan telah dilancarkan oleh Setiausaha Politik Kanan Menteri Kewangan bersama 123 penulis lain di Hotel Royal Park UNITEN. Kajian beliau dalam bahasa Melayu dengan tajuk Pemodelan Kesediaan Pengguna Beranjak Kepada Kenderaan Tidak Bermotor (Berbasikal) mendapat geran Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) bernilai RM77,800.

Beliau juga banyak membentangkan kertas kerja dalam bidang teknikal, bahasa dan sastera dalam dan luar negara selain dijemput sebagai ahli panel forum. Selain itu, karyanya juga turut termuat dalam buku teks Bahasa Melayu Darjah 6, Tingkatan 2, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 terbitan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta digunakan oleh lebih satu juta pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia setiap tahun. Puisi, “Mari Kita Cipta Alam Lestari” termuat dalam Antologi Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 & 5 Kubentang Sehelai Peta diterbitkan oleh DBP. Malah, tulisan beliau juga pernah terpilih untuk disiarkan dalam ruangan sisipan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

Karya-karya Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub juga telah memenangi lebih 30 hadiah dan sayembara penulisan. Puisi beliau, “Sang Pelakon” memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2006/2007 manakala cerpen “Batu Niah & Harapan” memenangi HSPM 2008/2009. Antara hadiah lain yang pernah diperolehi ialah Johan Sayembara Menulis Puisi Merdeka KUiTTHO 2003, Hadiah Utama Sayembara Puisi Perang eSastera.com 2003, Johan Anugerah Penyair Alam Siber 2003, Hadiah Peraduan Puisi Sains KaryaNet 2004, Johan Anugerah Penyair Alam Siber 2004, Johan Anugerah Novelis Alam Siber 2004, Tempat Kedua Peraduan Cereka Sains KaryaNet 2005, Sagu Hati Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan Maulidur Rasul 2006, Johan Anugerah Penyair Alam Siber 2006, Tempat Ketiga Anugerah Cerpenis Alam Siber 2006.

Beliau juga merupakan Penerima Anugerah Penerbitan Alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2008, Johan dan 2 saguhati dalam Sayembara Puisi Perpaduan 2009, Penerima Anugerah Sasterawan Alam Siber (ASWAS) II 2009, Tempat Kedua Peraduan Mengulas Buku Sempena PBAKL 2012 anjuran ITBM, Saguhati Pertandingan Mencipta Tema Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Perak 2012, Saguhati Peraduan Mencipta Slogan Sempena PBAKL 2014 anjuran ITBM, Pemenang Hadiah Sastera Darul Ridzuan 6 2016/2017 dan Tempat Kedua Sayembara Menulis Puisi Gerakan Dekad Bahasa DBPWU 2018.

Sehingga kini, Nik Mohd Iznan telah membimbing ribuan peserta dalam lebih 50 bengkel penulisan di negeri Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang. Beliau pernah menjadi pembimbing Akademi DBP. Peserta bengkel terdiri daripada pelbagai lapisan termasuklah pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, guru, pelajar politeknik, pelajar kolej swasta, pensyarah politeknik, pensyarah IPG dan pensyarah universiti swasta. Beliau juga sering diundang menjadi hakim dalam pelbagai sayembara penulisan anjuran pelbagai pihak anjuran DBP, KPM, JPN, GEMA, PPK dan banyak lagi termasuklah sayembara puisi berunsur Islam Ireland – United Kingdom ke-2 pada tahun 2006.

Di politeknik, beliau banyak terlibat dalam merekabentuk buku program, kulit buku pensyarah, poster, gegantung, kad nama dan lain-lain, Berpengalaman mengajar kursus Lukisan Kejuruteraan di Politeknik Mukah Sarawak dan Computer Aided Design & Drafting (CADD) di Politeknik Ungku Omar. Beliau merupakan salah seorang penggubal silibus Engineering Drawing & Computer Aided Drafting DCC10012 yang digunakan oleh pelajar Diploma Kejuruteraan Awam seluruh Politeknik di Malaysia.

Dalam bidang rekabentuk grafik, Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub juga pernah terlibat merekabentuk lebih 600 kulit buku pelbagai penulis dan penerbit. Beliau sering dilantuk sebagai perekabentuk kulit buku dan perunding penerbitan pelbagai syarikat dan agensi termasuklah DBP, ITBM, PERADABAN, Pekdis, MAIK dan banyak lagi. Malah, beliau juga pernah diberi tanggungjawab merekabentuk buku Dato’ A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP. Bukan sekadar di Malaysia, beliau pernah terlibat merekabentuk buku penulis atau penerbit luar negara termasuklah Singapura, Thailand dan Indonesia. Pernah dinobatkan sebagai pemenang saguhati pertandingan reka bentuk logo Kementerian Pelancongan Malaysia (Ministry of Tourisme – MOTOUR) pada tahun 2011. Logo ciptaan beliau juga turut mendapat hadiah saguhati pertandingan reka bentuk logo Pusat Pelancongan Malaysia (Malaysia Tourism Centre – MATIC) dalam tahun yang sama. Pernah menerima anugerah The Best Poster Award semasa program Sustainable Development Week 2010 (Sustainable Living and Engineer) anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM, Skudai.

Dengan kepakaran dan sumbangan besar dalam persuratan Melayu serta bidang teknikal. beliau juga banyak diundang menjadi pemakalah dan penulis kata pengantar hampir 10 buah penulis lain. Sesungguhnya, kecintaan Nimoiz T.Y atau Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub terhadap bahasa Melayu sangat tinggi dan kental kerana bahasa Melayu baginya merupakan sendi tamadun bangsa. Pada beliau, teknologi dan bahasa harus bergerak serentak dalam arus pemodenan negara.